Sejauh mana kebenaran taraf hidup rakyat meningkat?
Angka awal Kajian Pendapatan Isi Rumah 2014 yang dijalankan kerajaan menunjukkan taraf hidup rakyat negara ini meningkat dengan purata pendapatan isi rumah melepasi RM5,900 sebulan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, ia pencapaian ketara berbanding hasil kajian pada 2012 yang merekodkan purata pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan.
Adakah ini cuma kajian 'syok sendiri' untuk orang atasan nampak macam buat kerja dan konon-konon berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat negara ini.
Tapi apa sebenarnya realiti dibawah? Adakah mereka yang membuat kajian ini berpijak di bumi yang nyata?
Realitinya adalah begini.sepanjang 15 tahun lepas, gaji untuk pekerja di Malaysia telah terkebelakang dengan pengeluaran. Kadar pertumbuhan pengeluaran adalah selari dengan kadar pertumbuhan upah sekitar 1998, tetapi selepas itu perlahan-lahan ia jatuh ketinggalan di belakang.
Sehingga tahun lepas, pengeluaran dalam sektor pembuatan ialah 45% melebihi upah. Ia boleh diterjemahkan secara kasar yang pekerja kita menerima gaji kurang daripada sepatutnya dalam kadar 45%. Semua ini menunjukkan yang GNI per kapita tidak mewakili dengan baik pendapatan majoriti rakyat Malaysia yang menikmatinya sebagai upah dan gaji. Malah tiada makna apa-pun yang relevan dengan rakyat umum.
Keduanya, lebih daripada 90% tenaga kerja penerima upah tidakpun menerima gaji yang banyak. Hanya 11.0% daripada pendapatan negara diterima daripada cukai pendapatan individu dan hanya 1.0 juta daripada 10.8 juta tenaga kerja layak untuk membayar cukai. KWSP melaporkan yang 78.6% daripada penyumbangnya memperolehi RM3,000 sebulan atau kurang. Ini sekali lagi menunjukkan betapa rendahnya pendapatan majoriti rakyat Malaysia pada tahap individu.
Selain itu, realiti juga boleh dilihat apabila 6.8 juta permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 diluluskan kerajaan sehingga 31 Mei bulan lalu, memetik data dari Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 4.5 juta penerima terdiri daripada golongan isi rumah manakala 2.3 juta lagi penerima adalah golongan bujang dengan semuanya membabitkan peruntukan RM3.6 bilion.
Jumlah penerima ini dijangka meningkat memandangkan permohonan rayuan baru ditutup pada 31 Mei lalu dan masih ada permohonan yang sedang diproses Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Dari jumlah permohonan BR1M saja boleh dilihat apa yang dikata oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar cuma fantasi di alam realiti.
Jadi apakah Negara Berpendapatan Tinggi yang kita ingin capai dalam masa beberapa tahun akan datang? Adakah sebuah Negara Berpendapatan Tinggi dengan majoriti rakyatnya berpendapatan rendah?
Tag : tempatan
No comments:
Post a Comment