Thursday 10 July 2014

Memanusiakan Sekolah dan Manusia

Saya suka artikel ni...


Memanusiakan Sekolah dan Manusia

Merupakan seorang penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Perakaunan Islam. Baru sahaja menyertai tim kolumnis Langit Ilahi sekitar April tahun ini (2014) sebagai penulis. Seorang yang sukakan bahasa, terutamanya bahasa Melayu yang mengakar umbikan jati dirinya, tetapi dalam masa yang sama tidak menolak nilai dan kepentingan bahasa-bahasa lain.
Gambar sekadar hiasan, ihsan daripada Google
Gambar sekadar hiasan, ihsan daripada Google
Hari ini, saya mahu berterima kasih kepada Mark Zuckerberg. Hari ini, saya juga mahu berterima kasih kepada ibu saya. Ini kerana, melalui rangkaian sosial Facebook, saya berjumpa dengan begitu ramai cerdik pandai walaupun cuma melalui hubungan atas talian. Ini kerana, melalui saranan ibu saya supaya saya memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sewaktu awal saya menerima keputusan Unit Permohonan Universiti (UPU) selepas tamat SPM hampir 6 tahun lepas, saya turut bertemu dengan begitu ramai cendekiawan dan bijak pandai di sana, baik daripada kalangan pensyarah, sahabat-handai yang berfikir dengan kritis, berbincang dan menulis mahupun para aktivis sosial.
Semua rasa terima kasih ini terbit di dalam diri, sesudah melihat sendiri situasi kehidupan para pelajar, atau suka saya gelarkan mereka sebagai adik-adik di sebuah sekolah menengah. Hari ini, setelah genap tiga hari menjadi seorang guru ganti untuk tempoh dua bulan yang mendatang, saya terimbau kembali akan kenangan sewaktu saya bergelar pelajar sekolah dahulu, sehinggalah ke zaman pengajian tinggi yang bakal ditamatkan dalam masa terdekat dengan izin Tuhan. Apatah lagi bila mana terdapat para pelajar yang tidak kalah kenakalan  dan kedegilan mereka dengan saya.
Saya kira, selama tempoh berbelas-belas tahun saya bergelar seorang pelajar sedari tadika seawal usia 5 tahun membawa ke usia awal 20-an di universiti, proses mencari ilmu itu adalah sesuatu yang memenatkan. Benar. Ada jatuh dan bangunnya. Ada masa main-main dan tidak serius. Bukan sepanjang masa saya sentiasa bersemangat untuk hadir ke sekolah mahupun kelas-kelas untuk mendengar kuliah yang disampaikan. Namun begitu, seperti yang saya sebutkan di awal penulisan, kehidupan di institusi pengajian tinggi ditambah dengan alam maya yang menghubungkan saya dengan ramai pemikir dan penggerak badan-badan tertentu telah menghidupkan proses pembelajaran dan pengajaran di luar kelas buat saya, seterusnya menambah luaskan pengalaman yang dikutip di luar waktu kuliah. Saya jadi terfikir, kalaulah saya cuma menamatkan pengajian saya selepas sekolah menengah, mana mungkin kemanisan ini akan saya kecapi. Maka benarlah kata sesetengah orang-orang tua yang menyuruh anak-anak belajar di universiti itu bukanlah hanya sekadar untuk lulus peperiksaan setelah mengindahkan gred-gred matapelajaran dengan cuma menyalin dan menghafal nota-nota kuliah secara permukaan, kemudian berhempas-pulas bekerja siang dan malam dalam usaha menaikkan tangga gaji, bahkan lebih daripada itu. Iaitu untuk menjadi seorang manusia yang sedar bahawa menjadi pandai itu perlu untuk memperkasakan masyarakat dan bangsa. Bila kesedaran itu ada, pastilah ada juga kemahuan untuk menjadi pandai, lalu kehadiran ke kuliah mahupun kelas-kelas bukanlah sekadar untuk mahu memastikan senarai kehadiran ditandatangani supaya tidak dibuang universiti di kemudian hari, bahkan untuk mengutip ilmu secara langsung daripada para guru. Satu pengajaran buat saya untuk meneruskan pengajian di universiti pada semester yang akan datang dalam erti kata yang sebenarnya.
Mereka Sedang Mencari Diri Sendiri
Agaknya, begitulah yang sedang dirasai oleh sebahagian daripada adik-adik tersebut. Datang ke sekolah bukan kerana cinta, tetapi kerana rutin kehidupan yang membentuk mereka menjadi begitu. Rutin kehidupan sebagai seorang manusia secara amnya; lahir, bermain-main dengan riang gembira sebagai seorang kanak-kanak, bersekolah bertahun-tahun, bekerja untuk mengejar kekayaan, berkeluarga dan beranak-pinak sehinggalah kembali dikambus oleh coklatnya tanah. Lalu apa yang dicapai pada akhirnya? Dan saya menjadi bertambah kasihan bila mana setiap pagi adik-adik ini perlu datang ke tapak perhimpunan selama lebih kurang 10 minit hanya untuk dileteri dalam bab yang berkaitan dengan disiplin dan yang seumpama dengannya. Malah menjadi bertambah kasihan bila mana yang dilaungkan ke telinga mereka itu adalah mereka perlu sedaya upaya untuk menjaga prestasi dan pencapaian sekolah secara keseluruhan dengan mengurangkan jumlah peratusan kegagalan dalam peperiksaan awam yang berkaitan. Benar. Saya faham kepentingan perkara tersebut, tetapi dalam masa yang sama, dari satu sisi, saya juga suka sekiranya kita sedar dan tahu bahawa pelajar-pelajar yang berada di sekolah menengah apatah lagi di universiti, mereka berada di fasa usia yang memerlukan bukan saja para guru, bahkan juga ibu bapa untuk bersahabat dengan mereka, bukannya lagi memarahi, merotan atau menghukum kesalahan ringan mereka. Bukankah di dalam agama itu sendiri dituntut supaya yang namanya anak-anak itu dibesarkan mengikut fasa usia tertentu? Sedari lahir hingga ke usia 7 tahun, kita digalakkan supaya melimpahi mereka dengan kasih-sayang dan kemanjaan yang meruap-ruap, kemudian membawa ke usia 14 tahun, kita diseru supaya bertegas dalam soal mendidik mereka, dan bila mana usia mereka mencapai 14 tahun ke atas, bersahabatlah dengan mereka, kerana sewaktu usia sebeginilah darah muda mereka sedang menggelegak di samping berminat untuk mencuba sesuatu yang baharu, sehingga kadang-kadang tindakan mereka menjadi rebellious. Usah tipu saya, kerana saya juga pernah melalui waktu-waktu tersebut. Agaknya kerana itulah ada sebahagian daripada mereka yang cuma datang ke sekolah untuk bermain-main, kerana mereka masih belum menjumpai apa yang sedang mereka cari, iaitu diri mereka sendiri. Atau juga kerana mereka tidak diajar untuk hadir ke sekolah dengan penuh rasa cinta. Atau juga kerana permasalahan yang sering timbul antara generasi X dan Y, bila mana senioriti sering menidakkan kebolehan anak-anak muda ini dek kerana ego yang tinggi.
Benar. Saya juga faham, sistem pendidikan masa kini, terutamanya pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) memerlukan guru-guru untuk menjadi sibuk lebih daripada biasa. Sudahlah perlu diberi perhatian terhadap matapelajaran yang diajarkan kepada anak murid, bahkan juga perlu melakukan tugasan sampingan lain, dalam pada mereka juga cuba untuk menjaga periuk nasi mereka, kerana mereka cuma ‘makan gaji dengan kerajaan’ bagi yang mengajar di sekolah kerajaan. Saya tidak katakan semua guru begini sikapnya, tetapi tidak keterlaluan juga untuk saya katakan bahawa sekolah pada masa kini seakan-akan telah menghilangkan fungsi sebenar seorang guru, ataupun lebih tepat lagi pendidik. Pendidik yang bukan cuma mengajarkan kepada anak-anak muridnya akan subjek-subjek tertentu, akan tetapi lebih daripada itu, memperkenalkan mereka kepada kehidupan ini. Syed Naquib Al-Attas dalam kesarjanaannya telah mengungkap dengan panjang lebar kepentingan untuk menggunakan istilah yang tepat dalam hal-hal tertentu terutamanya pendidikan, sehinggalah beliau membawakan tiga makna kepada pendidikan, iaitu ta’lim, tarbiyyah dan ta’dib. Secara ringkasnya, ta’lim bermaksud cuma mengajarkan tanpa membentuk keperibadian yang mana proses ini disokong oleh makna tarbiyyah sebagai mendidik, manakala peringkat yang paling tinggi sudah tentulah ta’dib, iaitu untuk membina sebuah peradaban. Erti pendidikan pada beliau adalah untuk meresapkan dan menanamkan adab pada manusia.
Apatah lagi dalam dunia serba moden yang penuh dengan persaingan ini (dan inilah yang sering ditanamkan di dalam minda anak-anak bahawa mereka perlu bersaing, bukannya membantu sesama lain untuk sama-sama berjaya), anak-anak ini terbentuk oleh stigma untuk terkehadapan dalam pada mengalahkan rakan-rakan sebaya mereka. Secara mudahnya, lihat sahaja pada konsep pengasingan kedudukan kelas darjah di sekolah-sekolah yang mengangkat nilai strata ataupun perbezaan kelas sosial. Anak-anak yang pandai dikumpulkan dalam kelas terhadapan dan terpandai, dan mereka akan menjadi lebih pandai lantaran tumpuan guru-guru diberikan secara lebih terhadap mereka berbanding anak-anak di kelas tercorot. Lalu anak-anak yang keciciran dan ketinggalan ini bergaul sesama mereka yang mempunyai permasalahan yang sama, maka mereka bukan sahaja menjadi bertambah corot bahkan juga lebih bermasalah dalam soal disiplin. Apalah salahnya pemikiran seperti ini dihapuskan, bahawa tidak ada bezanya antara kelas pertama dan kelas terhujung, dan anak-anak ini diajarkan untuk saling membantu dalam memandaikan diri mereka. Janganlah guru-guru menolak untuk mendekati mereka, tetapi hampirilah mereka dengan memberi harapan dan peluang yang sama. Selamilah apakah perkara sebenar di sebalik kenakalan mereka itu. Dan saya tahu, ini memerlukan keberanian dan kejituan yang cukup tinggi!
Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang
Benarlah seperti yang telah diulas dengan panjang lebar oleh cikgu Zul Fikri Zamir, bukan saja pengasas Teach For The Needs (TFTN) yang memberi peluang pendidikan yang sama rata terhadap anak-anak yatim dan juga anak-anak yang ketinggalan, bahkan juga seorang pemikir yang memandang secara jauh akan masa hadapan negara ini melalui penegasan yang ditekankan olehnya tentang sistem pendidikan semasa. Dalam bukunya yang bertajuk ‘Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang,’ kompilasi artikelnya banyak menyentuh kepentingan untuk tidak menjadikan anak-anak bangsa sebagai hanya sekadar sebuah produk, bahkan lebih daripada itu, iaitu menjadi manusia dalam erti kata yang sebenarnya.
Memetik artikel khusus yang telah beliau karang bersama-sama dengan seorang lagi pengasas bersama sebuah badan penggerak ekonomi, BLINDSPOT iaitu saudara Anas Alam Faizli dalam tulisan mereka yang mengulas tentang isu Trends in Mathematics andScience Study (TIMSS) dan juga Programme for International Student Assessment (PISA) yang dijalankan pada tahun 2011, Malaysia dikatakan muncul corot di dalam tangga kajian yang dilakukan oleh indeks-indeks antarabangsa ini. Hal ini berikutan soal pengasingan kelas seperti yang telah saya sebutkan di atas, bahawa kaedah persampelan kedua-dua penilaian tersebut adalah secara rawak, maka keputusannya mewakili kedua-dua pelajar yang pandai dan juga corot.
Penutup: Melahirkan Lebih Ramai ‘Ranchoddas Shamaldas Chanchad’ dan Juga ‘Sophie Amundsen’ dengan Bantuan ‘Ram Shankar Nikumbh’
Belajarlah daripada filem Bollywood bertajuk ‘Three Idiots’ yang mengisahkan tentang perlunya ke sekolah dengan rasa cinta. Watak utamanya, Rancho yang dijayakan oleh pelakon terkenal Aamir Khan telah membuktikan bahawa kecintaan terhadap ilmu yang ingin digali menjadikan bukan sahaja beliau sebagai seorang yang benar-benar berjaya dan berguna kepada masyarakat selepas tamat belajar, bahkan juga dua orang sahabat baik beliau yang mana pada asalnya mereka sering dikatakan bodoh oleh guru mereka. Ini kerana, kata kunci yang telah mereka jumpai adalah rasa cinta akan senantiasa menghadirkan minat untuk mereka lebih mendalami sesuatu perkara itu, biar sesusah mana pun ia.
Selain itu, telusurilah juga novel sejarah falsafah popular yang bertajuk ‘Dunia Sophie’ dalam bahasa Melayunya, yang mana novel ini secara kasarnya banyak menekankan tentang kepentingan falsafah dalam perjalanan mencari makna kehidupan. Sophie Amundsen, seorang anak gadis yang berusia 14 tahun telah berhenti daripada rutin kebiasaannya yang cuma belajar dan membuat kerja rumah sehari-hari bila mana pada satu hari setelah pulang dari sekolah beliau menerima sepucuk surat misteri yang hanya bertanyakan dua soalan; “Siapakah kamu?” dan “Dari manakah asalnya dunia ini?” Bermula dari situ, beliau lebih berminat untuk mengkaji falsafah di sebalik kewujudannya sebagai seorang manusia di dunia ini, yang mana akhirnya membawa beliau kepada pencarian Tuhan. Perjalanan itulah yang telah memanusiakan seorang Sophie Amundsen.
Dan jadilah juga seperti seorang Ram Shankar Nikumbh, seorang guru yang tidak putus asa dalam usaha mendidik seorang pelajarnya yang menderitai simptom Disleksia dalam filem Bollywood lain yang bertajuk ‘Taare Zameen Par.’ Oleh kerana beliau juga merupakan seorang penghidap Disleksia, yang menyebabkan beliau mengalami gangguan pembelajaran seperti menulis huruf secara terbalik sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau mampu menyelami perasaan watak utama dalam filem tersebut, iaitu seorang pelajar sekolah yang juga mengalami masalah yang sama seperti yang telah disebutkan.
Malah, ramai lagi tokoh-tokoh sebenar yang boleh kita pelajari daripada mereka berkaitan dengan soal ini. Untuk akhirnya, saya juga menyeru kepada diri saya untuk memperbaiki cara saya dalam mendekati para pelajar, kerana jauh di dalam hati, saya cukup benci untuk menjadi garang dan marah-marah sebenarnya. Semoga para guru di luar sana juga sama-sama berusaha untuk lebih memanusiakan sekolah dan manusia di dalamnya, iaitu guru itu sendiri dan juga murid-murid, kerana hakikatnya kita ini perlu belajar daripada satu sama lain. Tidaklah guru itu hanya bertindak superior sebagai seorang yang mengajar, tetapi dalam masa yang sama juga guru-guru boleh belajar daripada anak murid berkenaan apa-apa saja pelajaran yang berkaitan dengan kehidupan. Jadi, kata kuncinya, berusahalah untuk merendah hati mengakui kesilapan biarpun terhadap anak-anak yang lebih muda usianya. Dan yang paling penting, tulisan ini sama sekali tidak menidakkan kepentingan ibu bapa dalam perihal mencorakkan keperibadian anak-anak. Hanya saja kepentingan guru dan sekolah yang lebih ditekankan pada kali ini. Juga suka untuk saya ingatkan, semoga para ibu bapa di luar sana tidak tergolong dalam golongan ibu bapa moden yang mudah-mudah menyaman guru hanya kerana mendenda anak-anak mereka yang tidak menyiapkan kerja rumah misalnya!
“Jiwa umpama lampu kaca, dan pengetahuan ialah cahaya (yang memberi api), dan hikmah Tuhan ialah minyaknya. Sekiranya ia menyala, kamu hidup. Sekiranya ia padam, kamu mati.” (Ibnu Sina)

No comments:

Post a Comment