Wednesday 9 July 2014

Jadi jutawan cara Zhang Jian?

Jadi jutawan cara Zhang Jian?

ShareThis    
KOMEN: Dua puluh enam tahun adalah usia apabila ramai daripada kita mula membina kehidupan – suatu masa di mana kita memiliki kerjaya yang stabil dan mula membina rumah, dan keluarga.
Walaubagaimana pun, ada beberapa golongan "istimewa" yang menjadi jutawan pada usia 20-an.
Di antaranya adalah mereka yang menjadi anak hartawan, kroni parti pemerintah, atau warga China yang melarikan diri dari negara sendiri untuk menubuhkan sebuah perniagaan pemasaran pelbagai aras di Malaysia.
Zhang Jian bercita-cita mengambil alih tampuk lelaki terkaya di dunia dari Bill Gates dalam tempoh lima tahun. Berdasarkan keadaan semasa, dia berkemungkinan besar dapat memenuhi matlamatnya ini, disebabkan rakyat Malaysia yang mudah tertipu.
Kita tertanya-tanya bagaimana dia dapat ditangkap.
Anak muda berkaca mata ini adalah lelaki sama yang menjadi tajuk utama dalam media tempatan baru-baru ini, selepas papan iklan gergasinya muncul di beberapa lokasi di Pulau Pinang.
Resume beliau berbunyi seperti sebuah kisah dongeng – dia memecahkan rekod dengan membuat jualan tahunan bernilai RM16.8 bilion, perniagaannya mempunyai keahlian 140 juta orang (di China dan Malaysia), dan telah memberikan beratus-ratus buah BMW, Porsche dan Ferrari, selain motosikal kepada ahli-ahli yang menyertai perniagaannya.
Apa yang diperlukan untuk memiliki sebuah kereta mewah dalam tempoh beberapa bulan hanyalah menjadi ahli perniagaannya – CDTup International Sdn Bhd, yang menjalankan program pemasaran pelbagai aras Yun Shu Mao (YSLM), yang lebih menyerupai skim piramid, atau skim cepat kaya.
Produk yang dijual adalah pelbagai, daripada komputer riba tidak berjenama kepada kasut dan telefon bimbit – kesemuanya dengan stiker Zhang Jian.
Model perniagaannya menyatakan bahawa sekali seseorang itu menjadi ahli, dia boleh mendapatkan keuntungan besar tanpa perlu bekerja. Harga untuk hidup mewah tanpa perlu mengangkat jari – hanya RM300!
Ahli-ahlinya dijamin pendapatan antara RM2,700 dan RM6,800 sebulan, dengan hanya merekrut lebih ramai orang untuk menjadi ahli bawahan mereka. Itu baru untuk permulaan. Terdapat pakej lain dengan bayaran yang lebih lumayan – lebih besar pelaburannya, lebih lumayan pulangannya.
Usaha merekrut ahli-ahli pergi terus ke bawah, sehingga ia mencecah paras tepu atau sehingga perniagaan ini diserbu oleh pihak berkuasa, di mana pihak yang memulakannya akan hilang bersama wang berjuta-juta dolar hasil penipuan. Sejarah telah membuktikannya.
Zhang Jian nampaknya mempunyai jumlah pengikut yang agak besar di sini, berdasarkan jumlah blog dan laman Facebook yang didedikasikan terhadap perniagaannya. Sebuah halaman Facebook seperti ini, kumpulan sokongan YSLM, mempunyai pelbagai gambarnya bersama-sama dengan tokoh tempatan yang terkenal, termasuk menteri-menteri.
Dilaporkan bahawa perniagaannya telah mengutip kira-kira RM300 juta sejak ia mula beroperasi di Malaysia pada akhir tahun lalu.
Zhang Jian juga disenaraikan oleh Forbes sebagai salah seorang tokoh terkaya China – dengan nilai USD650 juta (RM2.06 bilion).
Masalahnya, perniagaan YSLM Zhang Jian ini telah pun diharamkan di China dan dia telah dihadapkan ke pihak berkuasa China sebanyak lima kali.
Menurut laporan, program Yun Shu Mao sedang disiasat oleh Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negaranya disebabkan model yang meragukan ini.
Mengetahui bahawa dia tidak boleh berterusan menipu di China, jutawan muda itu telah menjadikan Malaysia sebagai sasaran barunya, di mana warganya mungkin adalah antara yang paling mudah ditipu.
Di sini, kita benar-benar percaya bahawa adanya diktator di negara lain yang menunggu untuk berkongsi kemewahan mereka dengan kita, atau peragawati di Internet yang mendapati kita adalah pasangan hidup mereka, dan mahu hidup bersama, asal kena harganya.
Peringatan berulang kali oleh pihak berkuasa dan berpuluh-puluh laporan dalam media mengenai mereka yang ditipu, tidak berjaya menghalang rakyat Malaysia dari menjadi mangsa skim sebegini.
Apa lagi sebabnya seorang lelaki dengan kekayaan yang begitu besar, yang boleh menetap di mana sahaja di dunia, memilih untuk tinggal di sebuah negara yang kecil seperti Malaysia?
Wahai semua orang, jika anda menerima apa-apa yang kedengaran terlalu baik untuk menjadi kenyataan, ia pastinya tidak baik.
Selagi orang tunduk kepada rasa tamak dan sikap mudah percaya mereka, akan ada orang-orang seperti Zhang Jian yang tumbuh bagaikan cendawan.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Jadi%20jutawan%20cara%20Zhang%20Jian#sthash.REtUbzlU.RU3oLh8U.dpuf

No comments:

Post a Comment