Tuesday, 5 August 2014

Hukum Urusniaga Dengan Syarikat Yahudi : Makan, Beli, Jual

Hukum Urusniaga Dengan Syarikat
Yahudi : Makan, Beli, Jual
(Artikel ini ditulis pada tahun 2007, adapun di ketika Yahudi Israel menyerang Palestin dengan kejam hari ini, tindakan boikot adalah amat wajar dilakukan- uzar pada 9 Jan 09)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Begitu banyak soalan yang datang kepada saya dan kedengaran di sana sini berkenaan hukum membeli barangan halal yang dikeluarkan oleh syarikat Yahudi khususnya dan bukan Islam umumnya. Ia menjadi satu persoalan yang semakin hangat disebabkan sikap Yahudi yang berterusan menyerang negara umat Islam. Demikian juga Amerika.  
Saya ada terbaca kempen dari orang awam dan beberapa ilmuan yang mewarwarkan hukum haram jika membeli barangan dari syarikat yang dimiliki oleh Yahudi sepenuhnya atau salah seorang pemilik syarikat tersebut adalah Yahudi.
Syarikat Yahudi semua haram kita berjual beli?Akibatnya timbul kempen memboikot syarikat-syarikat tertentu dan boikot yang disebarkan melalui email dan internet. Syarikat seperti McDonald, Kentucky Fried Chickhen, TESCO dan lain-lain syarikat yang dikatakan dimiliki oleh Amerika, Yahudi atau mempunyai hubungan dengan mereka secara langsung atau tidak langsung adalah syarikat yang kerap dijadikan bahan utama.
Tidak terkecuali juga beberapa buah syarikat yang dimiliki oleh bukan Islam seperti Maxis dan lain-lain. Saya juga pernah membaca dan mendengar ada yang berusaha menimbulkan semangat berkobar-kobar sehingga berkata bahawa sesiapa yang membeli dan menggunakan khidmat syarikat-syarikat ini maka samalah seperti membantu agama mereka, membunuh umat Islam dan banyak lagi. Adakah ini benar dari sudut pandangan Islam?.
Saya berharap tulisan ringkas saya ini dapat menjelaskan keadaan dan ia adalah berdasarkan pandangan beberapa nas dan pandangan ulama kontemporari. Saya tidak berhasrat untuk menulis panjang dan tulisan ini bukanlah sebuah kajian ilmiah bertaraf univeristi. Ia hanya jawapan yang diringkas dan dipermudahkan bagi bacaan orang awam sahaja. Saya juga tiada sebarang kepentingan dalam semua syarikat yang disebutkan namanya di atas dan yang lainnya, tulisan ini adalah dibuat atas dasar penyebaran ilmu Islam di atas landasan ilmu sahaja.
Asas Hukum
Pertamanya, elok kiranya saya cuba menjelaskan hukum berjual beli dengan orang Yahudi atau dengan mana-mana syarikat yang dimiliki oleh individu Yahudi. Bagi mendapatkan kejelasan dalam isu ini, fakta berikut perlu difahami sebaiknya:-
a) Allah SWT menghalalkan umat Islam memakan sembelihan ahli kitab yang di antara mereka adalah Yahudi. Ini bermakna berurusan dengan Yahudi dan barangan yang dihasilkannya selagi menepati kehendak Allah adalah diharuskan.
b) Allah SWT juga menghalalkan lelaki Islam untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab yang suci dan baik dengan syarat ia bertujuan kebaikan kepada wanita tersebut. Perihal halal berkahwin dan makan sembelihan ahli Kitab termasuk Yahudi ini disebut dengan jelas dalam ayat berikut : -
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ
Ertinya : "Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik.." ( Al-Maidah : 5 )
Jika perkahwinan dibenarkan, sudah tentu jual beli lebih lagi akan termasuk dalam kategori dibenarkan oleh Islam (selagi mana menurut syarat jual beli Islam).
c) Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-
‏أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Imam Bukhari menamakan bab yang mengandungi hadith ini dengan nama
بَاب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ
Ertinya : Bab berjual beli dengan kafir musyrikin dan musuh perang.
Kemudian Imam Ibn Hajar Al-Asqolani pula dalam huraiannya menyatakan :-
واستدل به على جواز بيع السلاح من الكافر
Ertinya : Dan dalil ini dijadikan dalil bagi keharusan MEMBELI senjata dari orang kafir.  ( Fath Al-Bari, Ibn Hajar, 5/142 )
Ini adalah kerana apabila Nabi Muhammad SAW mencagarkan baju besi baginda yang hanya digunakan untuk berperang, ini membuktikan hukum berjual beli dengan bukan Islam termasuk Yahudi adalah harus selagi mana cara aqad dan urusniaganya bertepatan dengan kehendak Islam. Hadis ini boleh dikatakan hujjah terkuat bagi membenarkan umat Islam membeli barangan keperluan dari Yahudi hatta makanan dengan cara berhutang sekalipun.
Ijma ( Sepakat ) Keharusan
Manakala Imam An-Nawawi pula ketika mensyarahkan hadith yang sama menyatakan :-
فيه جواز معاملة أهل الذمة والحكم بثبوت املاكهم على مافي أيديهم ...وبه قال الشافعي ومالك وأبو حنيفة وأحمد والعلماء كافة
Ertinya : hadith ini menunjukkan harusnya berurusan dengan ahli Zimmah ( kafir yang bukan tentera yang berperang dengan Islam) dan hukum ini membawa erti sabitnya pemilikan barangan itu oleh mereka...dan demikian ini adalah pandangan Imam As-Syafie, Imam Malik dan Abu Hanifah serta Imam Ahmad dan seluruh ulama" ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40 )
Imam An-Nawawi menyambung :
وأما اشتراء النبي الطعام من اليهودي ورهنه عنده دون الصحابة فقيل فعله بيانا لجواز ذلك وقيل لأنه لم يكن هناك طعام فاضل عن حاجة صاحبه الا عنده وقيل لأن الصحابة لا يأخذون رهنه صلى الله عليه وسلم ولا يقبضون منه الثمن فعدل إلى معاملة اليهودي لئلا يضيق على أحد من أصحابه
Ertinya : Nabi membeli makanan dari Yahudi serta mencagarkan baju besinya dan tidak dilakukan kepada sahabat adalah dikatakan sebagai tanda keharusan melakukan demikian (berurusan dengan Yahudi dan bukan Islam walaupun terdapat orang Islam), sebahagian ulama yang lain pula mengatakan (nabi tidak beli dari sahabat) kerana mereka tiada makanan lebihan untuk dijual kepada nabi, ada juga yang mengatakan para sahabat tidak menerima cagaran Nabi serta tidak mahu menerima sebarang bayaran dari Nabi sehingga menyebabkan Nabi berurusan (kerana tidak mahu menyusahkan sahabatnya) dengan Yahudi agar tidak memberatkan sahabatnya. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
وقد أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يستعينون به في اقامة دينهم.
Telah ijma' atau sepakat seluruh umat islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka " ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
Justeru, telah ijma' berkenaan keharusan membeli dan menjual samada kepada Yahudi, Nasrani (Kristian), Buddha, Hindu dan lain-lain selagi mana mereka tidak terlibat secara langsung (dan rasmi) memerangi Islam, transaksi pula dilakukan bertepatan dengan Islam. Di samping hujah-hujah yang sohih di atas ia juga disokong lagi oleh sebuah hadis dhoif iaitu :-
روى الخلال بإسناده عن عطاء قال نهى رسول الله عن مشاركة اليهودي والنصراني إلا أن يكون البيع والشراء بيد المسلم
Ertinya : Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato' berkata : Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya ditangan orang Islam ( menuruti Shariah)" ( Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal : Ahkam Ahli Zimmah, 1/556 )
d) Para sahabat juga berurusan jual beli dengan orang kafir termasuk Yahudi. Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang berurusan demikian, malah para sahabat baginda lebih kerap melakukannya dimana mereka juga terbabit dalam jual beli dengan Yahudi, Nasrani, Musyrik dan lain-lain. Sebagai bukti adalah firman Allah :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu dari karunia-Nya
Ayat ini secara langsung memberikan kefahaman kepada kita bahawa para sahabat Nabi sebelum Allah SWT melarang orang kafir dari memasuki masjidil haram, mereka kerap dan cukup banyak berurusan samada jual atau beli dari si kafir dan yahudi.
Ini disebutkan oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya :-
وكان المسلمون لما منعوا المشركين من الموسم وهم كانوا يجلبون الأطعمة والتجارات , قذف الشيطان في قلوبهم الخوف من الفقر وقالوا : من أين نعيش . فوعدهم الله أن يغنيهم من فضله .
Ertinya : Orang-orang Islam apabila Allah melarang orang Musryik dari masuk (berniaga) pada musim perniagan sedangkan mereka dulu lah yang membawa makanan dan pernigaaan, maka syaitan mulai melontarkan dalam hati umat Islam takut dan bimbang mereka akan jatuh faqir, ( kerana tiada pelanggan dan pembekal), sehingga ada antara mereka berkata : " Bagaimana kami nak hidup" , tatkala itu Allah SWT menjanjikan kepada mereka kurniaan rezeki dari sisiNya" ( Al-Jami' Li Ahkami Quran, 8/106 )
Imam Fakhruddin Ar-Razi pula menegaskan :
وحملوا الطعام إلى مكة وكفاهم الله الحاجة إلى مبايعة الكفار
Ertinya : Orang-orang Islam dari Jeddah, Sana'a dan Hunain itu membawa makanan ke Mekah (untuk dijual) dan Allah SWT mencukupkan mereka dengan jual beli dengan orang Kafir" ( Tafsir Al-Kabir, Ar-Razi, 16/22 )  
Hasilnya, jelas bahawa para sahabat juga berurusniaga dengan orang kafir. Nabi SAW juga masih hidup tatkala itu dan membiarkan urusan itu tanpa sebarang larangan dan tegahan. Malah setelah kafir dikeluarkan dari masjidil haram, para sahabat masih berniaga dengan mereka di sebelah luar, bukti terjelas adalah tindakan Nabi SAW sendiri membeli makanan dari Yahudi, Nabi juga wafat dalam keadaan hutangnya belum selesai dengan Yahudi ini. Isu hutang Nabi ini dibincang panjang lebar oleh ulama silam. Saya tidak berhasrat mengulasnya di sini. 
Saya kira kumpulan dalil dan huraian ringkas di atas sudah cukup untuk kita mendapat kefahaman hukum berkaitan ursniaga dengan Yahudi, syarikat yang dimiliki Yahudi atau lain-lain agama.
Agenda Boikot bagaimana?
Tidak dinafikan sama sekali bahawa umat Islam perlu melakukan sesuatu jika Yahudi atau lain-lainnya melakukan suatu jenayah dan kebiadapan terhadap Islam. Benar, umat Islam perlu bersatu padu dan bergabung kekuatan bagi memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang memulakan kejahatan terhadap Islam. Saya juga tidak mahu melemahkan semangat kempen ini, cuma orang ramai perlu tahu antara hukum dan keutamaan. Jangan nanti jika ada di antara kita yang melihat rakan terlibat dengan mana-mana syarikat tadi lalu dituduhnya kafir, munafiq, pembantu Yahudi dan lain-lain. 
jahat

Menurut para ulama kontemporari, cara yang dikira aman di zaman ini adalah dengan melakukan pemboikotan dari membeli barangan semua syarikat di bawah telunjuk mereka. Justeru, ia adalah salah satu cara yang paling berkesan buat orang awam islam di seluruh dunia.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyatakan bahawa boikot seperti ini adalah bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha dan peniaga yang seangkatan dengan para penyerang agar mereka sendiri mendesak kerajaan mereka kepada keamanan selain mereka akan membenci tindakan kerajaan dan rakan seagama mereka yang melakukan kejahatan terhadap Islam.
Ia juga dijangka dapat memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada negara mereka sekaligus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan kejahatan dan serangan terhadap Islam.
Walaubagaimanapun, adakah perlu kita menjadikan seluruh Yahudi di seluruh dunia tanpa mengira mereka membantu serangan atau tidak secara umum?. Atau bagaimana?
Menurut pendapat spontan saya, kita perlu membezakan di antara hukum dan keutamaan (afdhaliyah). Secara mudahnya, hukum berurusan dengan mereka sentaisa halal selagi mereka tidak terlibat secara langsung dengan peperangan, cuma yang afdhalnya tidak berurusan tatkala Islam sedang diserang oleh bangsa mereka. Bagi memahami hal ini, perkara berikut perlu dilihat :-
1) Hukum asal urusniaga dengan Non-Muslim termasuk Yahudi dan semua syarikatnya adalah halal selagi transaksi yang dibuat menrut syarat jual beli Islam.
2) Kewujudan syarikat-syarikat ini di negara Yahudi dan MoU perniagaannya di negara Yahudi tidak boleh dianggap sebagai membantu kerja keganasan Yahudi. Justeru, sebarang pembuktian seperti ini tidak kuat untuk mensabitkan bantuan 'direct' kepada kerja jahat Yahudi atau lainnya.
3) Hukum asal ini hanya akan bertukar kepada haram berurusniaga atau wajib memboikot mereka jika :-
a- Pemerintah Islam tertinggi iaitu Khalifah bagi seluruh dunia Islam mengarahkan boikot demi mencapai maslahat tertentu untuk Islam. Ia adalah kerana Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati pemerintah dalam hal ehwal yang tidak bercanggah dengan Islam. Peirntah ini tercatat di dalam Al-Quran. Hal ini dapat dilihat dalam tindakan Khalifah Umar al-Khattab yang mengarahkan seorang sahabat agar menceraikan isterinya dari kalangan Ahli Kitab dari negara Rome atas dasar 'maslahat' iaitu untuk menjaga kepentingan wanita Muslimat di ketika itu. Tatkala itu, perkara harus tadi sudah menjadi larangan sementara waktu disebabkan arahan pimpinan Islam (Nizam Al-Usrah Fil Islam, Dr Uqlah)  
Malangnya di ketika tiadanya seorang khalifah yang bertanggung jawab bagi seluruh umat islam, adalah sukar untuk menggunakan peruntukan kewajiban ini. Sekadar fatwa ulama besar seperti Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi masih tidak mampu menjadikan hukum boikot sebagai wajib buat setiap individu umat Islam. Ia masih berada dalam lingkungan 'afdhal' atau 'elok' sahaja dan tidak wajib untuk boikot dan tidak haram untuk terus berurusniaga.
Tiada Khalifah Islam
Di waktu tiadanya khalifah tertinggi Islam, menurut Prof. Dr Syeikh Muhammad 'Uqlah El-Ibrahim (Prof Fiqh di Jordan), tugas 'ulil amri' itu jatuh kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing. Jika demikian, Sultan, Perdana Menteri atau JAKIM adalah wakil urusan tersebut di Malaysia, maka sekiranya ada di antara pihak ini menyatakan keperluan boikot secara rasmi, tatkala itu adalah wajib ke atas setiap individu umat Islam di malaysia untuk memboikotnya. Jika tidak, adalah sukar didapati sebarang nas yang khusus lagi tepat cara pendalilannya bagi menjatuhkan hukuman wajib ke atas setiap umat Islam secara individu.
Justeru, di ketika tiadanya arahan rasmi dari kepimpinan sesebuah negara umat Islam, tindakan melakukan boikot tersebut adalah tergolong dari tindakan yang 'digalakkan' sahaja serta mendapat pahala sudah tentu bagi sesiapa yang melakukannya dengan niat yang betul. Iaitu mengutamakan barangan buatan umat Islam dan peniaga Islam disamping 'mendenda' syarikat milik Yahudi. Bagaimanapun, dari sudut hukum adalah tidak haram makan di McDonald, KFC dan membeli barangan harian dari mana-mana kedai dan pasaraya milik bukan Islam selagi mana barangan itu mempunyai tanda 'Halal' JAKIM dan yang diiktiraf serta belum tamat tempohya.
Dalil keutamaan ini antaranya adalah :-
جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُم
Ertinya : "Berjihadlah kamu menentang orang musryikin itu dengan harta kamu, dan diri kamu serta lidah kamu" ( Riwayat Abu Daud, no 2504, 3/10 ; Albani : Sohih  )
Perbezaan & Perkembangan Baru  
Cuma, di zaman kewujudan jemaah-jemaah Islam yang pelbagai di dalam negara Malaysia, pada hemat saya, sekiranya anda seorang yang komit dan telah memberikan satu 'bai'ah' atau janji setia dengan kepimpinan persatuan anda seperti ABIM, JIM, PAS, TABLIGH, HIZB TAHRIR, PPIM atau lainnya, dan mereka mewajibkan ahli mereka agar boikot. Tatkala itu mungkin boleh diperbincangkan hukumnya samada telah menjadi wajib ke atas ahli mereka atau tidak. Saya tidak berhasrat untuk membincangkannya di sini kerana ia akan memanjangkan tulisan ini. Mungkin ia lebih elok ditulis oleh tokoh-tokoh pimpinan persatuan dan jemaah tadi sendiri.  
b- Syarikat tersebut mendedahkan secara terus terang dengan hebahan rasmi bahawa mereka memperuntukkan keuntungan mereka bagi menyokong serangan Yahudi ke atas negara umat Islam.
Ia seperti yang dilakukan oleh Starbuck dan lain-lain. Dan pendedahan ini mestilah jelas dan bukannya khabar angin tanpa hitam putih. Tatkala itu ia sudah termasuk alam hukum menjual senjata kepada tentera musuh yang menyerang Islam yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab al-Majmu sebagai haram secara sepakat ulama.
contoh 
Syarat Sebelum Sebaran
Perlu diingat, selagi tiada edaran khusus, specifik dan rasmi oleh syarikat terbabit yang menyatakan mereka menyokong dan membantu serangan atas nama syarikat, selagi itu hukum asal iaitu harus berurusniaga dengan syarikat itu akan tetap terpakai.
Sekadar salah seorang pemegang saham bertindak sendirian membantu pembinaan kuil, atau membantu serangan oleh Yahudi juga belum cukup kuat untuk mengubah hukum harus tadi kepada haram. Ini kerana ia adalah tindakan peribadi salah seorang pemegang saham sahaja dan bukannya polisi sebuah syarikat itu.
Jika sekadar maklumat tidak rasmi dan khabar angin sahaja yang menyebut kaitan syarikat dengan gerakan ganas Yahudi. Tatkala itu, kaedah fiqh ini masih terpakai :-
أن اليقين لا يزال بالشك
Ertinya : Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu syak ( iaitu tidakpasti kebenarannya) ( Al-Majmu, Al-Nawawi, 1/266 )
Perlu difahami hukum asal harus berurusniaga dan membeli dari bukan Islam dan Yahudi adalah termasuk dalam bab yakin, ia tidak akan tergugat hanya dengan khabar-khabar angin penglibatan mereka dalam aktiviti serangan ke atas Islam. Keyakinan asal tadi hanya akan berubah bila dua sebab yang disebut di atas muncul. Wallahu'alam.
Kesimpulan umum :
Harus jual beli, guna khidmat dan makan di McDonald, KFC, TESCO, JUSCO, MAXIS, INTEL dan lain-lain produk walauapun berasal dari Yahudi atau Non-Muslim selagi mana : -
a) produk mereka disahkan bersih dan halal oleh JAKIM ( jika di Malaysia)  serta tempoh lesen masih hidup,
b) cara transaksi dan urusniaga yang dibuat adalah bertepatan dengan Islam,
c) tiada sebarang perintah oleh kerajaan yang berwajib untuk memboikot mereka bagi mencapai sesuatu maslahat kebaikan untuk Islam,
d) tiada sebarang bukti secara bertulis dan penghebahan rasmi syarikat bahawa mereka membantu dan menyumbang khas kepada serangan ke atas Islam, yang mana ia dibuat atas nama syarikat dan bukan salah seorang individu dalam syarikat sahaja.
Walaubagaimanapun, mendapat pahala bagi sesiapa yang melakukan boikot terhadap mana-mana barangan atau syarikat didasari oleh keyakinannya terhadap hasil kajiannya sendiri yang mendapati penglibatan yang tidak sihat tadi itu ada pada syarikat atau mana-mana pengeluar barangan. Tatkala itu, boikot adalah wajib ke atas dirinya sahaja dan digalakkan bagi sesiapa yang yakin dengan info yang dikeluarkannya.
Digalakkan juga umat Islam mengutamakan sayarikat Islam dan barangan keluaran Islam bagi membantu peningkatan ekonomi umat Islam. Ia juga adalah salah satu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Saudi. Wallahu'alam.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

proton

ni aku copy & paste....
Selepas Membaca Luahan Engineer Ini, Saya Semakin Yakin Dengan Proton! | Yang ni saya kena jawab la sebab banyak sangat misinformation. Biasanya information yang berpindah dari satu mulut ke satu mulut yang lain akan berubah menjadi sensasi. Itu lah masyarakat kita. Kita bukan mendapat firsthand info tapi berdasarkan cerita yang telah ditokok tambah. Ini dia cerita dari orang dalam yang duduk ditengah-tengah R&D PROTON.
proton
“Saya ada kenalan dari kastam boleh confirmkan perkara ni.. member saya kerja kastam kat kelang dan beliau sendiri yang maklumkan yg salah satu tugas dia adalah buat checking penerimaan barangan proton untuk di pasangkan di negara ni. Satu kontena enjin je.. manakala kontena lain adalah pintu, body dan sebagainya. sama lah dengan kereta lain juga.”
Kalau kita lalu kat kawasan glenmarie tu, akan ternampak lah satu tanda… Kilang Enjin Proton. Tanda tu tak duduk kat situ untuk suka suka je. Kalau kita jengok kat dalam…. Boleh nampak besi cair yang dituang kedalam acuan untuk membuat enjin block. Memang proton ada mengimpot enjin tapi dari kelas 1.2 dan 2 liter. 1.2liter untuk Savvy (enjin Renault) dan 2.0liter untuk Perdana. Tapi untuk enjin 1.3, 1.5, 1.6 proton buat sendiri. Untuk pintu pulak… hanya kereta-kereta Perdana sahaja yang proton beli pintu dari Mitsubishi.
For your information, Untuk membuat pintu sahaja memerlukan dekat 20 acuan. Bayangkan lah 4 pintu. Modal itu shaja sudah hampir RM50 juta. So untuk kereta yang volume kecil, kita beli dari luar. Untuk kereta Isawara, Wira, Waja, Gen2, Savvy… 100% body dibuat di Malaysia .
“Bayangkan dah 20 tahun menanti kereta Malaysia yang sebenarnya tak keluar-keluar lagi. Bagi yang berkemampuan sudah tentu tak mahu menggunakan injin kenderaan berteknologi 70an, 80an dan 90an yang diubahsuai. Sudah tentu ramai nak teknologi terkini dan sebenarnya milik kita. Secara umumnya proton masih belum ada enjin sendiri lagi.. jadi adalah sukar hendak dikatakan kalau ianya adalah kereta Malaysia yang sebenarnya. Pengeluaran kenderaan adalah berdasarkan injinnya barulah boleh dikatakan ianya kenderaan negara sebenarnya.”
Disini lagi ada misinformation. Memang untuk kereta Perdana kita impot enjin dari Jepun. Untuk Savvy kita gunakan enjin Renault. Untuk Isawara, Wira dan Waja kita buat enjin di Malaysia walaupun design original dia dari Mitsubishi. Tapi enjin Gen-2 adalah enjin terkini yang direka oleh jurutera Proton dan dibina di Malaysia. Enjin tersebut menggunakan teknologi terkini. Jadi kenyataan diatas agak menyesatkan sedikit. Naza, Perodua…. Masih lagi membawa enjin dari luar.
Modal untuk mereka dan mengeluarkan enjin ni amat besar. Nak dapat return pun bukan nya sekejap. Tapi demi maruah dan kemajuan, kita korbankan keuntungan jangka pendek. Selagi kita tidak mengeluarkan enjin sendiri.. selagi itu kita tidak tahu. Sekarang kita telah pun mengeluarkan enjin sendiri… orang masih tidak percaya. Itu lah masalah orang kita… memandang rendah kebolehan anak negara sendiri.
“Selama ini proton bergantung kepada Mitsubishi sebagai rakan teknikal. Oleh kerana kontrak selama 20 tahun telah tamat. Maka proton terpaksalah mencari rakan teknikal yang baru dan bermulalah masalah melanda proton. Sudah tentu rakan teknikal baru tidak mahu meneruskan rekaan dan teknologi mitshubishi lagi. So apa kan jadi pada kereta proton yang ada sekarang ni untuk masa akan datang.”
Tidak wujud kontrak 20 tahun dengan Mitsubishi. Mereka adalah rakan kongsi. Bertahun tahun kita berkerjasama dengan Mitsubishi tetapi teknikal apa yang mereka turunkan. Kalau kita pernah berkerja dengan orang Jepun atau Korea , mereka inilah yang paling kemut ilmu. Tapi bab nak korek ilmu kita, dia orang rajin habis.Korang jangan terkejut bila saya cakap yang idea kita pun banyak yang Jepun curi. So bila kita mula menuntut teknologi baru dari mereka… mula lah nak caj dan nak ikat royalti yang tak munasabah.
Nak mintak copy teknikal drawing zaman dulu sekeping pun dia orang caj beribu ribu. Mulalah kita pandang teknologi dari barat dan teknologi sendiri. Sebab itu kita beli Lotus.. Kita ignore Jepun. Bila kita design sesuatu yang lebih baik… laju je dia orang hantar balik information ke Mitsubishi. Last-last kita pun mula bersikap secrecy dengan dia orang… lama lama diaorang fed up dan mintak keluar. Lagi pun dia orang dah nampak afta nanti dia orang akan masuk balik ke Malaysia.
Perodua… kenapa daihatsu/toyota memberi enjin latest dia orang…. Sebab Perodua tu 100% milik Toyota/Daihatsu. Dah lama UMW menjual saham dia orang kepada Jepun. Proton…. Milik Malaysia .
“Mungkin ada yang tahu dan ada yang tak tahu yang proton yang digunakan pakai sekarang adalah barangan Mitshubishi. Samalah seperti kereta lain.. tukar lambang je..”
Inilah susah orang kita ni…. Banyak mendengar cerita sensasi yang banyak ditaruk banyak rempah ratusnya….. Memang pada mulanya kita belajar… selepas itu kita buat sendiri.Saya adalah seorang yang terlibat dengan kerja kerja tersebut.
Saga – base dia Lancer lama. Kita Cuma tukar depan dan belakang sikit.
Iswara – base Saga, kita mula belajar untuk design kereta sendiri. Masa ni Mitsubishi dah tak berapa setuju bila kita menubuhkan R&D. So kita menggunakan khidmat penasihat dari UK .
Wira – Disini berpuluh puluh designer dan engineer Proton dihantar ke Jepun untuk kerjasama design kereta baru. Proton dan Mitsubishi kongsi modal. Hampir 2 tahun kami disana. Bahagian tengah dikongsi bersama.
Depan dan Belakang, design asing-asing. Lampu depan dan belakang share sebab nak kurang kan cost. Hasilnya Proton Wira-Mitsubishi Lancer.
Orang akan kata hah kongsi je sebab tak tahu buat kerja…. Tapi ada orang kata apa apa bila Ford dan Mazda berkongsi bahagian tengah? Ford Laser dan Mazda 323 adalah kereta yang sama. Ada orang komplen? Bila orang Malaysia yang buat begitu… orang Malaysia sendiri yang nak mengutuk. Tak ramai yang tahu seksa bekerja kat Jepun sebab dia orang suka curi idea.
Bayang kanlah semasa kami design dashboard untuk Wira… masa tu Mitsubishi sudah pun siap soft tooling mould untuk dashboard kereta dia… Bila mereka tengok dashboard Proton, Mereka sanggup letak designer dia depan design kita untuk mengubahsuai kembali rupa bentuk dashboard mereka. Kalau kita pernah tengok dashboard mitsubishi lancer… hampir samakan. Itu mereka yang meniru bukan kita. Ianya menunjukkan kita bukan tak pandai… Cuma masyarakat sendiri berfikiran macam itu. Perdana – untuk membuat satu satu design bukannya murah. Nak balik modal pun lama. Jumlah kereta yang dijual pun kena banyak.
So, kalau nak buat Perdana…. Sampai habis pun tak balik modal. So yang ni memang kita ambil kereta dari mitsubishi dan pasang di Malaysia. Cuma kita tukar depan dan belakang, dan bahagian dalaman.
Tiara – Tiara adalah bukan product Proton. Ia adalah keluaran DRB. Tapi kita kena tunduk dengan arahan dari atas untuk mereka menggunakan lambang Proton.
Waja – Waja adalah permulaan kita untuk menunjukkan kita mampu melakukan kerja sendiri. 100% didesign orang orang kita. Tapi untuk kejuruteraan kita memerlukan consultant dari luar.. mainly dari Eropah dan Amerika. Bukan sebab tak pandai tapi kita tak cukup kakitangan. Nak design kereta bukan seperti menjahit baju. Kebaikan dari mengambil consultant dari luar memang membuka mata kita… kita adalah setaraf dengan kebolehan mereka. Nak design kereta ni memerlukan beratus ratus kakitangan. Bukannya sedikit.
Gen2 – 100% didesign oleh orang kita. Consultant dari luar hanya sedikit sebab kakitangan kita semakin ramai. Kita mula menggunakan enjin yang didesign sendiri.
Savvy – 100% dedesign sendiri. Cuma enjin sahaja kita menggunakan Renault sebab kita tidak ada enjin bersaiz kecil. Well…. Kehebatan enjin Renault sudah terbukti bila mereka memenangi F1. Disin banyak berita palsu disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.Contohnya… Savvy adalah Tiara dan menggunakan chasis Tiara lama. Savvy tidak ada kena mengena dengan Tiara. Savvy adalah baru, 100%. Tidak ramai yang tahu bahawa Savvy menggunakan HTHS steel (High Tensile High Strength Steel). Sebab tu body Savvy kuat. Memang ada terpampang kereta Savvy kemek kerana accident.
Well… kereta mercedes, volvo, BMW pun kemek bila accident. Tapi tak ramai yang tengok keadaan dalaman Savvy yang accident tu… In fact. Kukuh. Saudara saudari… Bila kita design kereta ni.. yang paling penting adalah keselamatan penumpang. Memang kereta didesign untuk crumple bila ada impact. Itu untuk menyerap daya hentakan supaya bukan manusia yang menerima hentakan kuat. Rating TUV Germany memberikan 3 star untuk Proton. BMW 5 series pun dapat 3 star. Ramai yang kata Savvy ni tak sedap bila memandu. Tapi tanyalah yang bercakap tu… adakah mereka pernah memandu Savvy. Kebanyakan nya tidak. Hanya mendengar dari orang lain.
Lain lain – Ada banyak lagi yang saya tak boleh cerita sebab ada secrecy act. Proton pun ada design kereta untuk company lain dan ada membuat part untuk company lain. Proton ada juga buat reverse engineering untuk motosikal lumba (tahun tu dia champion) tapi kita tidak boleh menceritakan sebab dasar secrecy kita. Mungkin sesetengah orang yang memakai certain kereta mewah tidak tahu yang part kereta mereka dibuat di proton. Kalau Proton tak elok… masakan mereka mengkontrakkan proton untuk membuat kereta mereka.
“Berbalik kepada masalah yang sedang dihadapi oleh proton. Kenapa ianya harus berlaku perkara sebegini. Apakah yang sebenarnya telah berlaku dan dibuat oleh proton dalam masa 20 tahun untuk membina kenderaan nasional sendiri. Memang ada R&D proton cuba mendapatkan struktur dan bahan-bahan untuk membuat injin tapi gagal mendapatkan resepinya.”
Proton memang dah ada enjin sendiri. Yang terpasang dekat Gen-2 tu apa dia. Bab-bab bahan untuk membuat enjin tu senang je. Kebanyakan pengeluar kereta menggunakan besi yang sama sebab pengeluar besi dalam dunia ni bukan banyak. Kita Cuma bagi specifikasi je. Nak design enjin tu yang susah. Transmition yang paling susah. Untuk info lah… kami masih lagi dalam proses untuk mereka cipta transmition sendiri. Bukan macam nak buat karipap tau.
“Penubuhan proton sejak 20 tahun yang lampau tidak mencapai objektif yang sebenarnya. Dimana silapnya? Berapa ramaikah yang tahu bilakah ilham proton ini sebenarnya timbul dan berapa lamakah usaha dilakukan bagi membolehkan impian ini tercapai.”
Mungkin ramai yang mengganggap hanya seorang perdana menteri sahaja terlibat. Cuma pada zaman Tun M baru persetujuan dapat dicapai setelah Mitshubishi bersetuju menjadi rakan teknikal dengan bersyarat. (syarat ni tak bolehlah diberi tahu.. sebab ianya adalah OSA)
Penubuhan Proton lebih mencapai objectif nya. Pada mulanya Proton hanya di rancang untuk membuat kereta bukan untuk merekacipta kereta. Kita menubuh R&D, Mitsubishi tidak setuju. Ye la… siapa nak bagi kita pandai kan . Cuba check dekat Perodua, berapa ramai jurutera dari Proton bekerja dekat sana, Head of R&D Perodua…bekas Proton, Head of Styling…bekas Proton, Head of Planning…bekas Proton, Head of Production…bekas Proton (rasa-rasanya dah kena kebas dekat Naza), Head of Engineering Services…bekas Proton. Ratarata mereka yang senior dekat sana dari proton. We trained them… orang lain ambil cara senang je.
Naza pulak.. Head of R&D….bekas Proton. Head of Production…bekas Proton. Honda pun ramai bekas Proton, DRB Pekan… Head dia pun bekas proton, Inokom… head dia pun bekas proton. Itu kira head je…bukan lagi kira engineer dan designer. So it meets its objective untuk memajukan orang-orang kita. Mainly orang Melayu. Naza sendiri tidak menyangkal kereta Naza mainly didevelop oleh bekas kakitangan Proton. So… orang Proton tak bagus?
Kita belum lagi kira bekas pekerja proton yang diambil oleh consultant luar negara… dari America, Eropah sampai ke Jepun.Tau tak kita kakitangan Proton telah memenangi pertandingan mereka design kereta anjuran Ford. Beliau mendapat tempat pertama. Bukan bertanding diperingkat Malaysia . Tapi di peringkat antarabangsa. Memang beliau mendapat tawaran kerja dari syarikat kereta gergasi Amerika dan Eropah. Tapi kami tabik bila dia decide nak stay dekat Malaysia sebab taknak anak-anak membesar dinegara lain. Ada orang tau…?
“Selama 20 tahun proton pergantung kepada pemerintah yang sepatutnya telah boleh berdiri dengan sendirinya sekarang ini selepas perjanjian tamat. Ibarat kata.. berapa lama perlu bergantung.. tak kan dah 20 tahun nak merangkak lagi.. nak tambah masa untuk merangkak lagi.. so bila lak nak belajar berdiri dan berjalan sendiri tanpa dipimpin lagi..sebab tu exPM kata.. kalau dah tak boleh tutup aja…”
Proton boleh menjadi lebih baik kalau tidak ada tanggung jawab kepada negara. Senang aja… buang sahaja pengeluar-pengeluar yang bermasalah. Tapi apa akan jadi dengan ekonomi. Itu tanggungjawab Proton untuk negara. Bayangkanlah penjanaan ekonomi proton untuk negara… berapa banyak kaki tangan Proton… 8000. Berapa banyak kakitangan syarikat yang secara lansung untuk membuat part Proton…100,000 orang. Berapa banyak bank dapat untung, berapa banyak syarikat bumiputra yang naik? Bayangkanlah kami boleh membantu sedangkan polisi kerajaan tidak membantu.
Cuba ingat sebelum timbulnya proton. Berapa banyak wakil jualan bumiputra untuk kereta toyota , nissan, honda? 0… Kosong.
Mengenai masalah AP pulak perkara tu bukan perkara baru. Mungkin ada yang tak tahu yang proton juga mendapat AP. Kalau tak.. sure harga kereta proton tak serendah sekarang ini. Tak percaya boleh check duti import yang dibayar untuk sebuah kereta proton. Nak check duti import tak susah sgt.. cuma bandingkan harga kereta proton di kawasan bebas cukai.
Kita memang tak payah bayar duti impot sebab kita buat kereta kat dalam Malaysia . Tapi tetap kena cukai. Kita tak ada AP. Yang Proton kecewa kenapa terlampau banyak AP dikeluarkan. Lepas tu sebijik-sebijik kerajaan kena tipu.
Bayangkan lah kalau kereta KIA yang dibawa masuk ke Malaysia … harga yang di declare adalah RM8000. Tak masuk akalkan bila kastam approve benda ni. Paling murah kereta yang pernah dibuat adalah dalam dunia ni adalah lebih kurang RM18,000. Itu baru bahan bahan dia. Belum lagi kira cost modal acuan, cost tenaga kerja, cost R&D. Bayangkan lah banyak mana kerjaan rugi pada cukai. Bayangkanlah banyak mana Naza untung.
Dasar Automotif Negara di perlukan bagi meneruskan perjuangan yang belum tercapai disamping menjaga serta melindungi pemilik kereta proton sekarang ini. sejauh mana boleh bertahan tak tahula..kalau tidak akan bertimbunlah bakal besi buruk bila tiada lagi sparepart proton (asalnya milik Mitsubishi) dan akan timbulah barangan made in Jinjang atau sewaktu dengannya.
Saudara… Dalam banyak banyak negara pengeluar kereta, Malaysia lah yang paling kurang memprotect industry automotive mereka. Rakyat Malaysia juga lah yang paling tidak patriotik dalam hal-hal kereta ni. Walaupun kita telah merdeka, minda kita tetap diajar barangan lain lebih elok dan tidak membantu barangan sendiri. Saya ambil contoh… Thailand membuka pintu mereka untuk industri automotif… tapi ada syarat. Kereta yang dibina di Thailand harus lah di export keluar lebih dari yang dijual dalam negara nya. Korea… cuba pergi ke Korea dan lihat sendiri disana. Nak cari kereta yang bukan dari Korea …susah. Sebabnya…
1. memang mereka patriotik.
2. Cuba pakai kereta import… Lembaga Cukai mereka
akan menyusahkan pembeli kereta tu. Sebab kata mereka
tentu banyak duit.
Jepun… Semasa mereka belajar membuat kereta hampir 80 tahun dulu… nak naik bukit pun boleh undur (baca sejarah toyota ), tapi rakyat mereka tetap bangga dan tetap membeli. Cuba kat Malaysia …. Kutuk lagi ada.
Saudara semua… kejayaan sesuatu project negara bergantung kepada sokongan dari rakyat sendiri. The more people buy, the cheaper things can be. Economic of scale lah tu. Lagi banyak dijual, lagi rendah cost pembalikan modal untuk setiap kereta.
Nak buat sebijik kereta hampir 1 billion cost dia. Macam mana nak balik modal kalau kita tak ambil untung. Kilang enjin lagi mahal… tapi kita korbankan keuntungan kerana kalau kita dok asyik beli enjin dari luar, masa mana kita nak belajar dan maju. Proton baru 20 tahun. Korea mengambil masa 40 tahun untuk kereta dia tiba ditahap ini. Jepun sudah 80 tahun, Barat sudah 100 tahun.
Ini industri kereta. Kalau orang suruh kita fikir nak buat plastik aiskrim tu pun majority kita tak boleh. Ini kereta. So yang mengutuk tu… fikir. Lagi banyak kita jual, lagi murah kita boleh jual… lagi banyak duit, lagi baik pembangunan yang kita boleh buat. Setiap test dan setiap bahan baru yang nak direka memerlukan wang yang banyak.
Masalahnya sekarang siapakah yang bakal atau boleh dijadikan rakan teknikal. Walau pun volkswagen nak join ngan proton tapi persoalannya boleh ke..?
Kenapa..saya kata macam tu..sebab Volkswagen ni guna euro. Sudah tentu la harga kereta proton pada masa akan datang lebih mahal lagi. (salah satu sebab isu AP keluar) Nak mohon Nissan atau Honda atau Toyata jadi rakan teknikal memang agak sukar. Errr…. Ini kita bagi hint sikit sebab teruk sangat
Gila2FX 01-06-2008 10:50 PM
——————————————————————————–
dah ni. Kita tengah develop kereta dengan VW. Sebab tu kita jangan dengar saja orang cakap.
Kalau semua AP ditarik balik lagi banyak masalah akan timbul.. salah satunya adalah AFTA. Mampukah negara kita membayar ganti rugi kepada negara lain yang telah melaksana AFTA. Mungkin ada yang tak sedar yang negara kita telah membayar ganti rugi RM billion sebab menangguh perlaksanaan AFTA sebelum ni kapada negara Asean yg berkaitan.
Memang kita akan kena penalti sebab ada perjanjian AFTA. Tapi bukan kita nak tarik AP macam tu aja. Jalan penyelesaian masih ada. Kalau negara lain boleh ada polisi dia orang yang membantu industri kereta mereka… kenapa kita tidak boleh. Kerana AP China boleh mengeksport kereta mereka ke Malaysia (kereta Chery hampis masuk), tapi polisi China masih lagi tidak membenarkan kereta kita masuk ke sana.
Memang dia kata boleh masuk tapi dah 5 tahun mencuba pun belum dapat kelulusan lagi. Banyak syarat lagi. India… nak masuk kesana kena letak deposit USD200 Million. Belum lagi nak set up kilang dan infrastruktur jualan. Cuba masuk kat Korea … Kita nak jual kain kita kat sana pun diaorang tak nak beli walau pun kualiti kita bagus. Kuat nya patriotik diaorang. Kita… apa yang nama lain selain dari barang sendiri mesti bagus punya.
Bagi yang nak membandingkan kereta kita dengan kereta German…. Bukan tak boleh buat. Boleh… tapi sanggup ke bayar harga kereta German untuk kereta buatan Malaysia .
Naza yang rata rata import kereta Cuma tukar bumper pun boleh jadi taraf kereta nasional. Perodua yang tak pernah design kereta sendiri (cuma design bumper depan belakang) pun dapat taraf kereta nasional… Proton sekurang-kurangnya telah mendidik ramai anak bangsa dalam kemajuan teknologi. Dah ramai hasil dari pengalamn bekerja dengan proton diambil untuk sektor R&D ditempat lain. Bayangkan lah satu kumpulan Advance Engine Research Proton terus diambil oleh Petronas. Bukan sorang…. Kesemuanya. Nak kerja dengan R&D proton….. Paling minimum 2nd class upper. 1st class berlambak. Selepas berpengalaman… Perodua, Naza ambil.
Tapi saya tak marah bila orang kata macam-macam pasal proton. Itu hak mereka. Tapi fikirkanlah tenaga yang kami beri untuk memajukan negara dalam bidang teknologi. Boleh sebut tak company mana lagi dalam bidang industri yang betul-betul menggunakan kepakaran anak Malaysia dalam bidang R&D ni. Kalau kita tidak belajar… sampai bila kita tidak akan tahu. Dan sampai bila kita akan bergantung dengan orang luar.
Tapi bab support selepas jualan…. saya sendiri pun tak puas hati. Sabotaj pun Proton dah biasa kena…. Orang curi part semasa delivery kerata tukar dengan part tiruan atau lama. Yang kena komplen… proton. Tapi yang hairannya semasa Perodua recall balik 4000 unit Myvi…. Tak ada pulak yang kutuk. Letak sebelah sebelah Myvi dan Savvy… check performance dia. Then baru tahu nak kata apa. Jangan dengar orang cakap je… test sendiri. Baru tau. Sekarang ni Savvy dah keluar dengan Savvy Auto-Manual…. Maksudnya dua-dua jenis gear ada dalam kereta. Malas nak tukar gear… swith to auto. Nak main ciluk-ciluk… switch to manual. Errr.. siapa kata kita guna tecnology 70an?
Jika anda rasa artikel ini mampu membangkitkan rasa cinta dan patriotik di kalangan rakyat Malaysia, maka sebarkanlah. Kongsikan di Facebook anda. Jalankan tanggungjawab sosial masing-masing. SHARE!

Monday, 4 August 2014

PKR senarai sebab mengapa Khalid tidak layak jadi MB

PKR senarai sebab mengapa Khalid tidak layak jadi MB

khalid ibrahim mb selangor

Ketua PKR cabang Selayang, William Leong Jee Keen hari ini berkata, pihaknya bersama 28 Ahli Jawatankuasa dalam mesyuarat khas cabang selama 40 minit malam tadi bersepakat mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya.
William Leong turut meminta kerjasama Khalid supaya akur menerima keputusan yang telah dicapai Majlis Kepimpinan Pusat Pakatan Rakyat pada 5 Januari lalu serta disahkan semula pada mesyuarat 23 Julai lalu di mana Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan mengambil alih.
“Jawatan MB bukan hak peribadi Khalid dan tiada terma yang mengatakan beliau akan kekal sebagai MB sepenuh penggal kerana dalam politik parti mesti mengambil kira dari semasa ke semasa apa jua pandangan dan sokongan rakyat.
“Jika seseorang pemimpin didapati hilang kelayakan atau kepercayaan rakyat, maka adalah menjadi tanggungjawab parti menukar pemimpin, tak perlu tunggu penggal tamat.
“Sebab itu kita minta Khalid memikirkan lebih mendalam dan minta nasihat orang lebih layak untuk mengambil keputusan dan berundur.
“Lagipun ramai mendakwa bahawa Anwar gila kuasa kerana tak dapat jadi MB lantik isterinya Wan Azizah, itu sebenarnya tak benar, PKR yang mempunyai 219 cabang dengan hampir 500,000 ahli bukan dipengaruhi satu individu, ini keputusan majlis perwakilan pusat PR,” katanya pada sidang akhbar berhubung konflik politik di Taman Selayang Jaya di sini.
Menurut beliau, sebenarnya parti membuat keputusan kerana Khalid gagal melaksanakan manifesto PR yang dipersetujui malah menafikan ia sebagai janji rakyat.
Malah katanya, isu lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) bila ditanya rakyat, Khalid tanpa rasa bersalah memberi jawapan ia adalah manifesto pembangkang yang tiada kena mengena dengan negeri.
Selain itu katanya lagi, Khalid didakwa membuat keputusan sesuka hati tanpa mempedulikan manifesto PR untuk negeri menaikkan premium cukai tanah dan cukai pintu melambung sehingga 400 peratus menyusahkan rakyat sehingga pakatan tidak boleh menjawab di Parlimen.
“Kita soal kerajaan BN pusat kenapa naikkan tol dan cukai tetapi kerajaan negeri Selangor PKR buat begitu dan menyusahkan parti, selain geran tanah dengan kadar premium tinggi, sampah melimpah dan wabak denggi diluar kawalan yang mana turut dikecam rakyat.
“Bukan sekadar itu, mesyuarat biro politik pun dia tak pernah datang selain kurang menyertai Majlis Kepimpinan Pusat setiap bulan sehingga parti PKR tak dapat tahu apa Khalid buat.
“Kita lantik Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri pada 2009 sebagai inisiatif untuk mengadakan satu saluran membincangkan polisi antara parti dan Khalid melibatkan ekonomi negeri, kebajikan rakyat dan polisi parti.
“Ini semua tidak dapat dilaksanakan disebabkan Khalid tidak mahu menerima cadangan atau idea Anwar sambil mengatakan dia bukan pak urut yang mendengar 100 peratus semua cadangannya.
“Malah prestasi Khalid tidak begitu memuaskan, Khalid tak ikut polisi parti, menafikan dan tidak mengikut juga manifesto dan janji kepada rakyat negeri.
“Selepas Mesyuarat Majlis Pepimpinan Pusat dah buat keputusan, kini sudah 7 bulan berlalu dan ini bukan perkara (tukar MB) dibuat secara tiba-tiba. Kajang Move menerusi PRK Kajang satu langkah awal Khalid perlu berundur,” tegasnya.
Lagipun katanya, tidak wajar seorang presiden PKR (Wan Azizah) berfungsi sebagai ADUN biasa di bawah seorang MB (Khalid) yang tiada jawatan dalam parti di negeri.
Dalam pada itu beliau turut berharap komponen PR iaitu Pas supaya menimbangkan dengan teliti keputusan pakatan rakyat kerana adalah penting untuk gabungan pembangkang menjadi lebih kuat memenuhi harapan rakyat.
“Kita sedia memberi penjelasan penuh jika terdapat perkara yang kurang mereka ketahui dalam soal pertukaran MB,” katanya. – Malaysia Gazette