Tuesday 10 June 2014

Umat Islam diminta abaikan fatwa al-Qaradawi

Umat Islam diminta abaikan fatwa al-Qaradawi
Share on facebookShare on twitterShare on emailhare on print
pada 10-06-2014 10:06 
Post Pic
SHAH ALAM: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan meminta umat Islam mengabaikan fatwa ulama, Dr. Yusof Qaradawi mengenai hukum menggunakan gelatin babi kerana ia tidak sesuai dipraktikkan di negara  ini.
Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, bagaimanapun pendapat ulama tersebut yang mengatakan penggunaan gelatin babi sebagai halal mengikut konsep istihalah tidak seharusnya dicurigai, tetapi tidak boleh diamalkan di Malaysia.
"Malaysia bukan negara darurat (untuk dibenarkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam). Di sini kita masih mudah mendapatkan makanan halal," katanya. 
Pada Sabtu lalu, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong pandangan Dr Yusuf bahawa gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah.
Bagaimanapun, pendapat Mohd. Asri dan fatwa Dr. Yusof itu ditolak oleh beberapa ulama termasuk pendakwah bebas, Kazim Elias yang berpendapat umat Islam perlu berpegang teguh kepada ketetapan keempat-empat mazhab dalam Islam yang mengatakan apa sahaja berkaitan babi adalah haram.
Mengulas lanjut, Abd. Shukor berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada mengeluarkan senarai makanan halal, justeru tidak ada sebarang sebab kukuh untuk umat Islam sampai ke tahap terpaksa menggunakan gelatin babi yang dibenarkan mengikut konsep istihalah.
Menurutnya, dalam perkara yang tidak begitu jelas hukumnya, umat Islam perlu merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh jawatankuasa berkenaan.
"Keputusan jawatankuasa ini adalah mengikut kesesuaian dan keadaan negara kita sendiri dan ini lah yang menyebabkan fatwa sesetengah pihak di luar negara berbeza dengan kita," jelasnya.
Dalam laman webnya, Dr Yusof baru-baru ini berkata, ramai orang lupa pada isu transformasi bahan iaitu perubahan zat dalam sesuatu proses pembuatan.    
"Di sana terdapat perkara yang dilupakan oleh banyak pihak iaitu isu transformasi bahan (perubahan zat). Kami berkata: Apabila sesuatu najis ditransformasikan, ia menjadi suci, iaitu sesuatu bahan itu mungkin pada asalnya adalah babi, kemudian ia bertransformasimenjadi sesuatu bahan yang lain - asalnya ialah babi tetapi ia diambil dan ditransformasikan menjadi sesuatu yang lain - contohnya menjadi sabun. 
"Para fuqaha' berkata, contohnya, sesuatu perkara seperti tinja dan sebagainya, apabila ia diambil dan dikenakan api serta dinyalakan, maka abunya adalah halal kerana ia telah menjadi bahan yang lain. Mereka berkata: Jika seekor anjing masuk ke dalam takung garam dan mati di dalam takung garam itu hingga garam memusnahkannya, hinggakan apabila kamu mencarinya kamu tidak menjumpainya disebabkan anjing itu sendiri telah menjadi garam, maka garam itu boleh digunakan untuk makan, minum dan segala-galanya, kerana ia telah mengalami transformasi bahan. 
"Hukum ditetapkan bergantung kepada `illah (sebab) yang ada dan yang tiada. Maka `illah dalam hal ini ialah ia tidak kembali wujud. Oleh itu, apabila daging atau tulang babi telah bertransformasi, - dan saya mendengar daripada saudara kami Dr. Muhammad Hiwari, dan dia adalah antara doktor akademik yang tinggal di German untuk tempoh yang sangat panjang, dan dia mempunyai kajian yang sangat baik dalam hal ini, - dia berkata kepada kamu: Kemuncak hal ini adalah, ia boleh diambil dan digunakan sebagai ubat gigi, dan digunakan sebagai sabun, dan digunakan sebagai gelatin (atau jeli) yang asalnya ialah babi, kerana ia telah menjadi sebatian kimia yang baru menyebabkannya tertakluk kepada hukum yang baru (iaitu halal)," ujar Yusuf Al- Qardhawi dipetik sebagai berkata.
Mei lalu, Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan terdapat DNA babi dalam dua produk Cudbury.
Difahamkan sample coklat yang diuji KKM itu diambil daripada pasaran secara rawak.
Perkembangan itu membawa kepada siasatan mendalam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehinggalah badan itu mengumumkan bahawa dua produk itu bebas DNA babi.
Bagaimanapun Jakim tidak menjelaskan prosedurnya yang membuat ujikaji itu dengan mengambil sample dari kilang Cudbury dan bukannya daripada pasaran sepertimana yang dibuat KKM.

No comments:

Post a Comment