Kroni Umno kaut untung bayaran sewa UiTM, rakyat tanggung rugi
KUALA LUMPUR, 12 JUN: Salah satu belanja besar yang dimasukkan di dalam Belanjawan Tambahan kali ini adalah bayaran sewa tahunan kepada pemegang konsesi bagi enam kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) seluruh negara.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata pemegang konsesi itu akan menerima bayaran sewa RM234 juta seperti yang dipohon di dalam Belanjawan Tambahan yang sedang dibahaskan.
“Saya membidas kaedah pembiayaan melalui sistem konsesi untuk membina kampus cawangan UiTM dalam sesi perbahasan yang lepas,”katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Memetik Harakah Daily, Rafizi berkata, dalam jawapan Parlimen sebelum ini yang bertarikh 10 April lalu, Perdana Menteri mengakui bahawa enam syarikat dilantik sebagai pemegang konsesi untuk membina kampus cawangan UiTM di Pasir Gudang (Johor), Jasin (Melaka), Seremban II (Negeri Sembilan), Puncak Alam (Selangor), Tapah (Perak) dan Kota Samarahan (Sarawak) antara tahun 2009 hingga 7 Mac lalu.
Selain itu, kos untuk membina setiap kampus berkenaan hanya di antara RM280 juta ke RM315 juta, namun kerajaan sudah menandatangani perjanjian konsesi selama 23 tahun dan bersetuju membayar sewa tahunan antara RM56 juta sehingga RM69 juta setiap satu.
Rafizi berkata, hal itu bermakna Kerajaan Pusat terpaksa menanggung bayaran konsesi tahunan yang dianggarkan berjumlah RM375 juta setahun (mengambil sewa tahunan purata setiap kampus sebanyak RM62.5 juta untuk enam kampus cawangan) selama 23 tahun.
Katanya, jumlah keseluruhan bayaran konsesi tahunan kepada enam syarikat terbabit selama 23 tahun adalah RM8.6 bilion yang akan ditanggung rakyat
Beliau berkata, namun kos membina enam kampus cawangan itu dianggarkan hanya RM1.8 bilion sahaja (mengambil kos purata iaitu RM298 juta setiap kampus untuk enam kampus cawangan) jika Kerajaan Pusat membinanya tanpa diswastakan kepada syarikat melalui sistem konsesi.
“Ini bermakna, sistem konsesi yang sedang rancak digunakan Barisan Nasional untuk membina kampus UiTM adalah penerusan kepada sistem penswastaan yang memberi keuntungan besar kepada syarikat kroni dan menjadi bebanan besar kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, rakyat terpaksa menanggung bebaban kos hampir lima kali ganda lebih mahal iaitu kos pembinaan kampus hanya RM1.8 bilion tetapi rakyat terpaksa membayar sewa tahunan RM8.6 bilion kepada syarikat konsesi dalam kes enam kampus cawangan itu.
“Saya juga khuatir kerana bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi ini bakal menjadi salah satu perbelanjaan terbesar yang bakal ditanggung pengurusan UiTM,” katanya.
Rafizi berkata, contohnya bayaran sewa konsesi RM234 juta adalah 11 peratus daripada keseluruhan peruntukan kepada UiTM tahun ini iaitu RM2.15 bilion.
Katanya, beliau akan memperincikan siapa sebenarnya yang memiliki syarikat konsesi yang menerima konsesi penswastaan enam kampus UiTM, pada 16 Jun ini.
Katanya, mereka adalah pemimpin Umno sendiri atau kroni terkenal mereka yang rapat atau memegang jawatan di dalam parti itu.
“Baru rakyat dapat memahami bahawa Umno tidak membela UiTM seperti yang selalu dilaungkan, bahkan kini parti itu menggunakan UiTM dengan cara membebankan dengan bayaran konsesi untuk mengkayakan pimpinan Umno dan kroni mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment