BELIA MALAYSIA GEMUK
Menurut pemerhatian penulis, belia Malaysia, iaitu mereka yang berusia 20 ke 40 tahun – hampir kesemuanya gemuk-gemuk. Pada mulanya, penulis beranggapan bahawa belia Melayu sahaja yang mempunyai masalah kegemukkan. Tetapi, apabila diteliti, belia Cina dan India juga menghadapi masalah yang sama.
Dalam mencari jawapan, penulis bertemu dengan beberapa statistik yang selari dengan pemerhatian penulis. Diwartakan bahawa 29.4% rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, dan 15.1% adalah obes (gemuk melampau). Ini bermaksud, hampir 1/3 rakyat Malaysia gemuk-gemuk. Jika diketepikan populasi 40 tahun keatas dan 20 ke bawah (yang rata-ratanya kurus), memang padanlah dengan pemerhatian penulis bahawa belia Malaysia (20 ke 40 tahun), majoritinya gemuk.
Ini adalah fenomena yang ganjil. Lazimnya, orang Asia bertubuh lansing dan kurus-kurus. Jika pembaca lihat ke negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam, populasi mereka tidak kira generasi apa sekalipun, kurus-kurus belaka. Begitu juga negara Asia yang lain seperti China dan India. Mereka kurus. Apa yang membuatkan belia kita lain dari kebiasaan hingga mereka jadi gemuk?
Yang pasti adalah kesan-kesan negatif yang akan melanda generasi ini kelak. Apabila mereka melepasi 40 tahun, ramai yang akan menghidapi penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol. Serangan jantung, stroke dan mati mengejut akan berleluasa. Malah, cerita-cerita serangan jantung, stroke dan mati mengejut dikalangan mereka yang berumur 30an, sudah tidak asing lagi.
Bukan sahaja ia mendatangkan kesan buruk pada kesihatan umum, ia mencemarkan imej profesionalisme negara. Belia kita dipandang malas dan lembab. Saingan sengit di persada global memerlukan para belia berketerampilan, kelihatan tajam dan tangkas. Dengan berimejkan gemuk, malas dan lembab, peluang mereka adalah tipis.
Punca-punca gemuk dari pandangan konvensional
Telah banyak diperkatakan mengenai faktor kegemukkan rakyat kita melalui kempen-kempen kesihatan, ceramah-ceramah, forum-forum dan sebagainya. Sumber maklumat adalah dari pakar-pakar perubatan, pemakanan, kecantikan, serta jurulatih kelansingan dan kecergasan. Secara kovensional-nya punca kegemukkan boleh dibahagi kepada dua, iaitu pemakanan berlebihan dan kurangnya senaman.
Pemakanan mengandungi gula dan lemak yang berlebihan membuatkan seseorang gemuk. Makanan sebegini mudah didapati di Malaysia. Masakan goreng, burger, nasik lemak, roti canai, teh tarik, nasik kandar dan seumpamanya boleh didapati di mana-mana, pada bila-bila masa, dengan harga yang berpatutan. Tabiat belia bersosial di kedai-kedai mamak membuatkan mereka makan makanan-makanan tidak sihat ini. Begitu juga mereka yang sibuk bekerja dan tidak sempat memasak.
Gaya hidup sedantari, yakni tidak aktif, turut menggemukkan belia kita. Kerja di kantor berhawa dingin, ke mana-mana berkenderaan, melepak di kedai mamak sampai larut malam, bangun lambat dan kurangnya riadah, antaranya. Kalori yang terhimpun menjadi lemak yang menyeliputi badan.
Itulah secara ringkas faktor-faktor kegemukkan rakyat Malaysia menurut pandangan konvensional. Semuanya betul dan berasas.
Falsafah makan yang salah
Di sini, penulis ingin ketengahkan faktor yang sering dilupakan apabila membincangkan masalah kegemukkan, iaitu – falsafah pemakanan.
Tidak seperti generasi terdahulu yang makan sekadar untuk hidup, falsafah makan belia sekarang adalah untuk enjoy dan puas. Hidup untuk makan. Keenakkan makanan amat diutamakan. Jadi, banyaklah minyak dan perisa (gula dan garam) untuk memaksimakan rasa. Seterusnya, mereka makan dengan bahagian (portion) yang banyak – sampai puas. Jika dahulu, seekor ikan dikongsi sekeluarga, belia kini makan seekor seorang. Sekarang, jika ke KFC, tiga ketul ayam masih tidak cukup. Mesti ada tambahan kentang goreng atau wedges.
Pemikiran ‘makan untuk enjoy dan puas’ ini ada kaitan dengan cara hidup Hedonisme yang pernah penulis tulis dahulu (baca: Hedonisme dan kita).
Nafsu manusia tidak pernah puas. Begitu juga nafsu makan. Bahagian (portion) makanan terus bertambah. Sudahlah bahagian makanan rutin (sarapan, makan tengah hari dan malam) banyak, snek-snek antaranya juga dimakan dengan banyak. Ada sahaja yang ingin dikunyah. Biskut, roti ban, pau, keropok lekor, sotong salai, coklat, aiskrim dan banyak lagi. Selagi boleh dimakan, pasti akan dimakan.
Jenis makanan terus bertambah variasinya. Setelah bosan dengan sesuatu masakan, mereka akan cuba masakan baru. Justeru, tidak hairanlah jika makanan-makanan dari luar begitu popular. Jika dahulu burger dan pizza, sekarang – Nasi Arab, Nasik Ambon, Sushi, Tokoyaki, Tempayaki, makanan Korea dan lain-lain juadah yang tidak sihat menjadi trend pemakanan.
Falsafah makan yang salah ini berasal dari pengaruh budaya popular – televisyen dan media. Pelbagai program gaya hidup (seperti Anthony Bourdain dan Jalan-Jalan Cari Makan) dan program-program memasak – meletakkan keutamaan pada kelazatan dan keenakkan makanan. Kesan utama rancangan sebegini adalah penerapan prinsip ‘makanan mestilah sedap’. Mana tidaknya. Setiap kali makan, pengacara-pengacara melagakkan aksi keterujaan (dengan bunyian dan memek muka) yang amat meyakinkan. Ini membuatkan belia yang cenderung pada keseronokkan, mencari makanan yang sedap-sedap.
Manifestasi pemikiran ‘makan mestilah sedap’ dan ‘makan untuk enjoy dan puas’ terlihat di media-media sosial. Status dan post seperti di facebook, merupakan cermin pemikiran empunya diri. Kita lihat betapa banyaknya status mengenai makanan – ‘apa yang hendak dimasak’, ‘restoran mana yang hendak dikunjungi’, ‘menu apa yang hendak dipesan’ dan sebagainya. Gambar-gambar hidangan (untuk tatapan kawan-kawan), banyak juga dimuat naik.
Seterusnya, makanan segera (fast food) mendapat exposure meluas di media. Sungguh kerap iklan mereka ditayangkan di televisyen – hinggakan iklan yang sama diulang beberapa kali dalam satu rancangan. Kaedah ‘brainwashing’ pengiklanan ini membuatkan rakyat terpegaruh untuk makan. Ditambah lagi dengan papan-papan iklan yang memenuhi jalanraya, iklan radio, internet, majalah dan sebagainya. Ini tidak termasuk pengaruh facebook kawan-kawan. Semua ini mengingatkan orang ramai supaya makan, dan terus makan.
Ubah falsafah makan
Sekiranya falsafah ‘makan untuk enjoy dan puas’ itu boleh diubah, pokok kepada masalah makan berlebihan boleh diselesaikan. Persoalannya, bagaimana hendak mengubah pemikiran ini?
Mengubah pemikiran bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keazaman yang kuat di peringkat individu, masyarakat dan penggerak perubahan itu sendiri. Keberkesanan kaedah yang diguna-pakai pula bergantung kepada kehendak (motivasi) dan kebolehan setiap peringkat tersebut (individu, masyarakat dan penggerak).
Falsafah ‘makan untuk enjoy dan puas’ mesti digantikan. Itu objektifnya. Kaedah pemakanan sunnah iaitu ‘makan setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang’ boleh ditekankan sebagai prinsip pemakanan yang baru. Penulis percaya bahawa belia bukan Islam boleh menerima falsafah ini kerana prinsipnya universial dan bukannya berkaitan dengan kepercayaan ataupun akidah. Jika tidak,tagline yang lebih ‘neutral’ seperti ‘makan untuk hidup’ boleh diketengahkan.
Motivasi untuk berubah menjadi lebih kuat apabila seseorang mengalami sendiri kesan buruknya. Contohnya, setelah seseorang mendapat serangan jantung (dan survive), falsafah pemakanannya secara automatik berubah. Kerana bimbang terjadi lagi serangan jantung, dijaga rapi pemakanan selepas itu. Namun, mengharapkan belia kita menghadapai serangan jantung adalah sesuatu yang tidak beretika. Maka, kempen yang meluas dan berterusan hendaklah dirancang dan dilaksanakan bagi mengubah falsafah pemakanan.
Kempen yang dimaksudkan bukanlah seperti kempen penerangan konvensional. Objektif mengubah falsafah pemakanan hendaklah jelas dan spesifik. Liputan hendaklah meluas dan berpanjangan. Ia mestilah meluas, seluas kempen 1Malaysia. Jentera kerajaan dan media massa perlu digerakkan. Slogan ‘makan untuk hidup’ perlu sepopular slogan segalanya 1Malaysia. Jika peruntukkan dana boleh diberikan untuk membuka kedai kain 1Malaysia, outlet dan restoran ‘makan untuk hidup’ yang menyajikan makanan seimbang pasti boleh direalisasikan.
Usaha merubah falsafah pemakanan haruslah disokong di peringkat struktur dan penguatkuasaan. Agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mestilah bekerjasama. Sebuah jawatankuasa yang efektif dan bersungguh-sungguh perlu ditubuhkan. Jawatankuasa ini bukan sahaja bertindak sebagai penggerak kempen merubah falsafah pemakanan, ia juga berkuasa dalam menentukan arah tuju polisi-polisi nasional yang berkaitan. Contohnya, ia mempunyai kuasa untuk menyekat pengiklanan makanan segera (fast food) – seperti pengharaman iklan rokok dan alkohol. Ia juga mampu menaikkan cukai kepada makanan-makanan yang tidak sihat.
Penutup
Idea ini dilontarkan penulis kerana pendekatan konvensional sedia ada tidak menampakkan impak yang berkesan. Jika pemikiran belia terhadap makan dapat diubah, masalah makan berlebihan boleh diselesaikan. Jadual makan seharian, iaitu sarapan, makan tengah hari dan malam, serta snek diantaranya boleh diteruskan. Apabila falsafah makan adalah kelansungan hidup, bahagian (portion)yang dimakan adalah cocok, manakala jenis makanan yang dipilih tidak mengandungi gula dan lemak berlebihan.
Ini, serta dorongan agar hidup secara aktif – pastinya mampu mengubati epidemik kegemukkan belia Malaysia.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment